Assalamualaikum wbh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Saya memang berasal dari kampung Sungai Gatom di Labis Johor. Sungai di Labis dulu airnya bersih. Waktu kecil memang selalu mandi di sungai Labis ini di bawah jambatan sebelah Masid Jamek Labis. Teringat lagi waktu dahulu walaupun dah bersekolah rendah tetapi setiap kali mandi sungai saya dan rakan-rakan semuanya mandi berbogel. Itulah kisah waktu kecil dahulu.

Selepas puas mandi sungai, kerap juga saya dan rakan-rakan pergi pula memancing ikan. Antara ikan yang kerap saya dapat ialah keli, haruan, terbul, lampam, sebarau, baung, temperas, puyu dan berbagai ikan lagi. Bila tiba musim panas dimana air sungai menjadi sedikit dan banyak lopak air di paya terhasil, saya dan rakan-rakan mencari pula akar tuba untuk menuba ikan, berkilo-kilo ikan dibawa pulang ke rumah.

Mencari ikan memang seronok tetapi yang tidak seronok ialah menyiang ikan. Menyiang ikan keli seronok sikit kerana ikan ini tiada sisik, cuma perlu buang sengat dan perut. Selain dari sengat ikan keli yang berbisa dan perut yang perlu dibuang, saya diajar oleh arwah ibu saya agar membuang dua bahagian berhampiran sengat ikan keli ini iaitu di belakang kedua-dua sengat. Bahagian yang perlu dibuang ini kira-kira sebesar kepala mancis. Saya tidak tahu apa sebabnya saya perlu membuang bahagian ini tetapi saya diajar begitu. Bahagian ini membengkak sedikit dan terletak di bawah kulit. Mungkin inilah bahagian yang mengeluarkan bisa ikan keli dan oleh itu ia perlu dibuang.

Pada masa kini, saya tidak pasti sama ada orang yang menyiang ikan keli ini membuang kedua-dua bahagian di belakang kedua-dua sengat ini atau tidak. Saya menjangkakan ramai orang yang tidak mengetahui perkara ini dan dengan itu tidak membuang kedua-dua bahagian ini.

Ikan keli adalah kategori ikan berbisa sama dengan ikan baung, ikan pari, ikan duri, semilang dsbnya. Orang perempuan yang sedang berpantang akibat bersalin memang tidak boleh makan ikan berbisa ini. Kalau sebut cerita orang perempuan berpantang waktu bersalin, memang banyak sangat pantang larangnya. Namun apa yang pelik sekali ialah mengapa doktor tidak menggalakkan pantang larang dan sebaliknya menggalakkan pula makan ayam lepas bersalin.

Orang perempuan baru bersalin kalau nak buat eksperimen sains mudah sahaja, makanlah gulai nangka muda atau makan nangka atau makan cempedak, insyaAllah boleh gila meroyan. Bagi orang baru bersalin saya nasihatkan agar berpantanglah agar cepat sembuh luka bersalin luar dan dalam.

Kembali kepada isu ikan keli dan ikan bersengat lainnya, ia memang juga tidak boleh dimakan oleh orang yang mengidap sakit gout dan athritis serta sakit pada sendi. Kalau dimakan lagi bertambah sakit pada sendi. Bagi mereka yang ada penyakit gout, boleh mencuba makan ikan pari dua hari berturut-turut dan lihatlah sendiri kesannya.

Anak saya yang ketiga adalah seorang perempuan. Dari kecil sampai tingkatan lima duduk bersama keluarga. Alhamdulillah setelah tamat tingkatan lima , dapat peluang belajar di peringkat diploma di UTM jalan Semarak, Kuala Lumpur . Berpisahlah anak ketiga ini dan terpaksalah belajar hidup berdikari mulai awal Julai 2007. Jikalau dahulu tinggal bersama keluarga, hampir semua perkara diatur oleh ibu bapa tetapi kini terpaksalah berdikari.

Anak saya ini tinggal di asrama kolej kedua. Makan kena beli sendiri. Apabila nak makan tengahari atau malam, survey dahulu apa yang sedap di makan barulah beli. Di Cafe Kolej Kedua ini ada menjual ikan keli. Anak saya mencuba makan ikan keli dan rupanya ikan keli ini memang sedap. Oleh kerana sedapnya anak saya makan berlauk ikan keli setiap kali makan tengahari dan makan malam.

Pada menjelang hujung Julai, iaitu setelah kira-kira 4 minggu makan ikan keli tengahari dan malam, badan anak saya ini mula ditumbuhi seakan-akan ruam berwarna merah macam kena campak. Anak saya lalu pergi berjumpa doktor di klinik UTM. Doktor mengesahkan ruam ini bukan campak dan memberikan losyen untuk di sapu pada badan. Namun ruam merah ini tidak hilang malahan semakin bertambah. Kalau kena campak ia akan disusuli dengan demam tetapi anak saya tidak demam.

Pada 3 Oogs saya ada urusan di UTM Jalan Semarak dan saya mengambil kesempatan ini untuk melihat anak ketiga saya ini. Ruamnya macam ruam campak dan saya membelikan air kelapa hijau muda untuk diberikan kepada anak saya. Saya berpesan untuk minum air kelapa setiap hari semoga ruam ini keluar semuanya. Keesokan harinya saya menelefon anak saya bertanyakan khabar dan anak saya memberitahu selepas minum air kelapa, lebih banyak ruam yang keluar. Namun yang peliknya ialah ruam ini tidak keluar di bahagian kaki. Sekiranya ruam campak, kalau ia keluar di kaki ia menunjukkan penyakit ini sudah tiba dipenghujungnya tetapi ruam anak saya hanya bertumpu di badan, peha dan di tangan sahaja di samping tiada demam. Ia memang pelik.

Beberapa hari selepas itu saya menyuruh isteri saya menelefon anak ketiga ini bertanyakan khabar ruamnya dan bertanyakan apakah makanan yang dimakan oleh anak saya ini sepanjang tinggal di UTM Jalan semarak ini. Ruam anak saya semakin banyak dan satu maklumat penting yang diberitahu oleh anak saya ini ialah beliau makan ikan keli setiap hari waktu tengahari dan malam. Selepas diberitahu oleh isteri, saya mengarahkan isteri untuk menelefon anak saya untuk menyuruh anak ini berhenti mengambil ikan keli.

Selepas berhenti mengambil ikan keli, ruam pada badannya tidak bertambah dan ini jelas menunjukkan bahawa ruam ini berpunca dari makan ikan keli. Saya suruh anak saya ini terus menelefon isteri arwah guru saya di Cheras Baru Kuala Lumpur untuk meminta pandangan dari beliau. Isteri arwah guru saya ini memberitahu bahawa ruam pada badan anak saya ini adalah ruam akibat bisa ikan keli yang dimakan terlalu banyak. Ubatnya ialah kena mandi air rebusan daun-daun tertentu.

Setelah mengetahui duduk perkara sebenar, kami merancang untuk menghantar anak saya ini untuk mandi ubat dirumah isteri arwah guru saya pada 24 dan 25 Ogos 2007. Sepanjang tempuh menunggu mandi ubat ini, ruam pada badan anak saya ini tidak bertambah dan tidak pula berkurang.

Tiba waktu yang dijanjikan, saya datang ke rumah isteri arwah guru saya dan sempatlah anak saya mandi ubat sebanyak 4 kali. Alahmdulillah selepas mandi ke 4, jelas kelihatan ruam ini sudah banyak yang kering dan mengelupas. Namun isteri arwah guru menasihati bahawa anak saya kena datang lagi untuk mandi beberapa kali lagi selepas ini agar semua racun ikan keli pada badan anak saya pulih.

30 minit lepas saya baru menelefon lagi bertanyakan khabar ruam pada badan anak saya dan beliau dengan gembira menceritakan bahawa banyak ruam yang telah mengelupas dan pulih, alhamdulillah. Namun hujung minggu ini, anak saya terpaksa naik teksi pergi ke rumah isteri arwah guru untuk mandi ubat lagi.

Begitulah kisah anak saya makan ikan keli siang dan malam selama kira-kira sebulan. Bisa ikan keli ini menyebabkan ruam yang teruk pada badan, peha dan tangan. Ubat doktor tidak dapat memberi kesan positif dan alhamdulillah ubat yang serasi ialah dengan mandi air rebusan daun-daun.

Ingatlah agar jangan makan ikan keli secara kerap. Kepada yang ada gout dan sakit sendi, jauhi langsung dari makan ikan keli dan ikan bersengat lainnya.


Sekian untuk kali ini, wassalam wallahualam

Topik-topik yang berkaitan:

Maafkan Daku....
Rejab telah melabuhkan sayapnya. Menyusul nanti Syaban, juga akan melabuhkan tir...
Kecantikan Wanita
Seorang anak laki-laki kecil bertanya kepada ibunya "Mengapa engkau menan...
Luangkan sedikit masa untuk Allah...
Baca jika anda ada masa untuk ALLAH. Bacalah sehingga habis. Saya hampir m...
Kenangan.....
alahai!!! teringat lak zaman sekolah dolu2!! rindu pulak kat membe2 lame!! ...